News & Programmes
Programmes
PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM PROGRAM MARS500 | PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM PROGRAM MARS500 |
|
|
|
|
WE ARE SORRY. THIS ARTICLE IS ONLY APPLICABLE IN MALAY VERSION. Umum sedia maklum bahawa satu program MARS500 dijangka akan dilancarkan pada 3 Jun 2010.MARS500 ialah suatu projek simulasi misi penerokaan manusia ke planet Marikh. Di dalam projek ini seramai 6 orang krew telah terpilih menjalani selama 520 hari di dalam sebuah fasiliti yang dibina di Rusia dengan kerjasama European Space Agency (ESA). Perjalanan ke Marikh akan mengambil masa selama 250 hari, manakala tempoh melakukan eksplorasi di Marikh selama 30 hari dan perjalanan balik semula ke Bumi selama 240 hari. Ia merupakan satu program kerjasama antara European Space Agency (ESA) dan pihak Rusia melalui Institute of Bio-Medical Problems of State Scientific Center of The Russian Federation (IBMP). Projek ini juga turut disertai oleh beberapa agensi angkasa lain seperti NASA dan JAXA. Projek ini bertujuan mendapatkan data yang diperlukan untuk membina sistem sokongan bio-medikal dan sistem sokongan aktiviti bagi krew sebenar yang akan menyertai misi ke planet Marikh suatu masa nanti. Antara keunikan projek MARS500 ini adalah tempoh masa pengasingan (isolasi) yang amat lama, autonomi krew, komplikasi di dalam komunikasi dengan Stesen Bumi (di mana kelewatan perambatan signal) dan stok bahan (makanan, air dan lain-lain) yang terhad. Projek MARS500 akan dilaksanakan di satu kompleks khas di IBMP, Moscow, Rusia yang khas dibina untuk projek ini. Program ini membuka peluang kepada saintis seluruh dunia untuk melakukan kajian dari aspek fisiologi dan psikologi penerbangan angkasa (spaceflight) bagi memahami kondisi tubuh badan manusia setelah melalui satu perjalanan angkasa yang panjang, di samping interaksi antara angkasawan. Malaysia antara negara yang tidak terkecuali dari melibatkan diri dalam projek ini melalui penghantaran eksperimen oleh 2 orang penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA. Pihak Rusia menawarkan peluang ini kepada Malaysia memandangkan penglibatan dan pencapaian Malaysia dalam Program Angkasawan yang lalu. Selain dari Malaysia, China dan Jepun adalah antara negara di Asia yang turut menggunakan peluang ini untuk menjalankan kajian mereka. Proses isolasi yang panjang digunakan sepenuhnya oleh saintis Malaysia, Prof. Dr. Hapizah Md Nawawi dan Dr. Tengku Saifudin Tengku Ismail bagi mengkaji risiko penanda aras penyakit yang melibatkan arteri koronari. Kajian dilakukan melalui darah yang akan diambil dari krew mengikut jadual dan kaedah yang ditetapkan. Seterusnya darah ini akan diuji bagi melihat sebarang penanda aras ke aras penyakit arteri koronari tersebut. Kaedah lain yang digunakan adalah menggunakan teknik flow-mediated dilatation (FMD) yang diukur dalam arteri brakial. Kajian ini akan memberikan pengetahuan tambahan tentang keadaan dan peredaran darah sekiranya manusia terasing untuk satu tempoh yang lama. Data-data yang bakal diperolehi merupakan data rujukan yang akan digunakan sekiranya misi ke Marikh dilancarkan satu masa nanti. Melalui program penyelidikan MARS 500 ini, Malaysia berupaya menceburi bidang penyelidikan perubatan angkasa(space medicine). Ia merupakan bidang baru di Malaysia dan bidang ini akan melengkapi bidang penyelidikan sains angkasa di Malaysia; Kesimpulannya ialah penglibatan Malaysia dalam program MARS 500 ini merupakan salah satu dari langkah penting untuk penglibatan Negara dalam penyelidikan sains mikrograviti yang akan menyumbang kepada penjanaan ilmu pengetahuan dunia , pembangunan sumber keupayaan tempatan RSE tempatan dan dalam masa yang sama mampu memberi impak positif kepada Negara.
Gambar menunjukkan fasiliti MARS500 yang terletak di Moscow, Rusia |
| < Prev | Next > |
|---|













